Friday, January 14, 2011

Takut?


Takut sering dipandang negatif.

Orang yang mempunyai takut, sering dipanggil sebagai pengecut. Takut dilihat sebagai pelemah dan pengurang kepada kekuatan.

Tetapi sebenarnya, di dalam kehidupan ini, ada satu ketakutan yang manusia perlukan. Bahkan, ketakutan ini menambahkan kekuatan, bukan melemahkan. Bahkan, ketakutan ini memberikan banyak kebaikan kepada manusia dan menjauhkan manusia daripada pelbagai keburukan.

Itulah dia takut kepada Allah SWT.

Manusia itu terbang dengan dua sayap

Guru saya, Syeikh Muhammad Audeh Al-Hawari, pakar ilmu hadith di Universiti Yarmouk, tatkala mengajar saya akan Petunjuk Nabawi di dalam Adab dan Pelembut Hati, pernah menyebut:

“Manusia itu ibarat burung yang terbang dengan dua sayap. Tetapi sayap manusia adalah Takut dan Mengharap kepada Allah SWT.”

Takut hakikatnya adalah elemen penting. Takut menyebabkan kita tidak akan melepasi sesuatu garisan yang ditentukan oleh yang ditakuti oleh kita. Takut menyebabkan kita tidak akan membuat sesuatu perkara yang telah dilarang oleh yang ditakuti oleh kita.

Takut menyebabkan kita tunduk. Takut menyebabkan kita taat.

Sekiranya kita bergerak di atas ketakutan kepada Allah SWT ini di dalam kehidupan kita, maka tidak adalah yang datang kepada kita melainkan kebaikan, dan tiadalah yang ada pada kita melainkan keberanian.

Siapakah yang takut kepada Allah SWT?

Namun siapakah yang takut kepada Allah SWT?

Saban minggu, kita perasan bahawa khatib jumaat akan lazimnya memulakan khutbah dengan berkata: “Ittaqullah…” yang membawa maksud asalnya: Bertaqwalah kamu kepada Allah. Juga boleh diterjemahkan sebagai takutlah kamu kepada Allah SWT. Tetapi siapakah yang benar-benar takut kepada Allah SWT?

“Tidakkah kamu melihat bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, kemudian Kami hasilkan dengan hujan itu buah-buahan pelbagai jenisnya. Dan antara gunung-ganang itu ada garis-garis putih dan merah yang beraneka macam warnanya dan ada pula yang hitam pekat. Dan demikian pula antara manusia, binatang melata dan binatang ternak, ada bermacam-macam warnanya(dan jenisnya). Sesungguhnya yang takut kepada Allah antara hamba-hambaNya adalah dari kalangan ulama’(yang berilmu). Sesungguhnya Allah itu Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” Surah Fathir ayat 27-28.

Dapat dilihat di sini, yang takut kepada Allah SWT, adalah yang berusaha mengenali Allah SWT itu sendiri. Yang tahu akan kekuatanNya. Yang tahu akan keperkasaanNya. Yang tahu apa yang Dia boleh lakukan. Yang tahu akan kekuasaanNya. Sebab itu jika kita perasan, ayat ini dimulakan dengan menunjukkan keperkasaan Allah, kekuasaanNya, kemampuanNya dalam menciptakan pelbagai perkara.

Maka apakah kesusahanNya untuk menurunkan azab kepada kita? Apakah yang akan menghalangNya daripada menghapuskan kita? Siapakah yang mampu menyelamatkan kita daripada kemurkaanNya? Tiada. Jawapannya adalah tiada.

Tetapi yang menyedari hal ini, hanyalah yang mengenaliNya. Yang berusaha merapatiNya.

Tanpa ini, takut itu tidak akan hadir kepada kita.

Takut yang ajaib

Mengapa perlu diwujudkan ketakutan ini?

Bagi saya, ketakutan kepada Allah ini adalah antara motivasi terulung dalam membina kehidupan yang baik. Hal ini kerana, apabila kita menyedari keperkasaan Allah SWT, kita akan menjadi teragak-agak untuk mengingkariNya bukan?

Apabila kita tahu akan kekuatan Allah SWT, dan kita amat takut kepadaNya, kita menjadi tidak takut kepada yang selainNya bukan? Sebab takut kita kepada Allah, melebihi ketakutan kita pada yang selainNya.

Apabila kita mempunyai rasa takut ini, maka datanglah kekuatan kerana hilangnya ketakutan kita ke atas perkara lain. Apabila kita dapat menggenggam rasa takut ini, maka datanglah semangat melakukan kerja kerana kita tahu akan akibat sekiranya kita mengingkariNya.

Ajaibnya takut ini, takut ini tidak memberikan kelemahan. Bahkan, ketakutan ini memberikan kekuatan. Memberikan semangat bekerja. Menjadikan kehidupan kita satu kehidupan yang bersih dan baik.

Tidak cukup dengan itu, akhirat kita juga akan terjamin.

Allah SWT berfirman:

“Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Rabbnya, dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya, maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggal untuknya.” Surah An-Naziat ayat 40-41.

Menarik bukan ketakutan ini?

Penutup: Hari ini, ketakutan ini hilang. Maka yang ada hanyalah kelemahan.

Hari ini, kita banyak takut perkara lain, melebihi ketakutan kita kepada Allah SWT. Atau kebanyakan kita hari ini, rasa takut kepada Allah itu telah hilang. Menyebakan kita melanggar banyak perkara yang dilarang oleh Allah SWT. Hal ini memberikan kelemahan kepada manusia.

Kita sanggup tunduk kepada manusia, ikut kata-katanya, kerana kita takutkannya. Sanggup tunduk sehingga walaupun apabila diarahkan untuk melanggar perintah-perintah Allah SWT, kita tetap ikut bagai lembu yang dicucuk hidungnya.

Tidak takut kepada Allah menyebabkan kita ‘curi tulang’ dalam banyak hal apabila berseorangan. Tidak takut kepada Allah, menyebabkan kualiti kerja, amalan kita berkurangan.

Hari ini, kita dididik untuk menakuti perkara lain melebihi Allah SWT. Ataupun, kita dididik untuk tidak takut kepada Allah SWT. Akhirnya di manakah kita sekarang?

Di manakah kita?

Maka adalah sepatutnya, ketakutan ini dikembalikan ke dalam jiwa-jiwa kita. Dan kita akan perhatikan betapa kita akan naik setinggi-tingginya, dengan ketakutan kepada Allah SWT yang tersemat kemas di dalam jiwa.

Dipetik drpd LangitIlahi V2

Friday, September 25, 2009

Ikhlas Pencetus Makbul Amal!! [sekilas dr program Lisanul Ummah]


Ikhlas... Sebuah Perkataan yang sering diperbincangkan di kalangan para 'ulama sejak dari dahulu hingga sekarang...Ikhlas juga sebuah pengertian yang bersangkutan dengan hati, jiwa, emosi dan seterusnya diterjemahkan melalui amal...

Ikhlas bukanlah perkara yang boleh dipandang ringan, dan juga bukanlah perkara yang perlu dilakukan dengan usaha yang keras... tetapi sebenarnya ia memerlukan latihan/tarbiyyah/didikan dari si hati... jika hati tersebut keras, maka riaklah setiap amalannya..dan begitu jugalah sebaliknya...



Apabila berbicara mengenai Ikhlas, seperti ibadah lain juga mempunyai pengertian, maka ikhlas juga mempunyai pengertian... Tetapi apabila ditanya seseorang 'alim tentang makna ikhlas, selalunya jawapan yang diberikan mestilah berbeza dengan yang lainnya...

Oleh itu, pengertian yang ingin saya kutip mestilah dari qudwah/junjungan besar Nabi Muhammad shallallahu... Seperti mana hadis yang kita ketahui sebagai hadis Jibril sabda Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam apabila ditanya mengenai Ihsan/Ikhlas, "Seseorang itu menyembah Allah seperti mana ia melihat Allah.. Jika ia tidak mampu (merasakan bahawa) melihat Allah, sesungguhnya Allah sedang melihatnya."

Bagi saya, rukun/pengertian Ikhlas yang telah diertikan oleh Ar-Rasul shallallahu 'alaihi wa sallam adalah contoh yang terbaik bagi kita untuk mengutip mutiara-mutiara hati/pengajaran/'ibrah dalam berdiskusi mengenai ikhlas...

Rukun Ikhlas yang pertama yang telah disandarkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam ialah kita menyembah Allah seperti mana kita melihat-Nya..

Ok..Cuba sama2 kita bayangkan... Seorang anak yang baru bangun dari tidurnya... Tiba2 dia terkejut kerana apabila dia bangun dari tidur sampai dia kembali ke kamar tidurnya kembali, emaknya sentiasa melihatnya dan dia sentiasa nampak muka ibunya...

Persoalannya, adakah dia akan melakukan sesuatu perkara berdasarkan kehendak hatinya sahaja ataupun mengikut gerak hatinya yang bertopengkan ibunya... Semestinyalah segala tingkah lakunya sejak dari pagi sampai ke malam akan menterjemahkan kehendak ibunya kerana dia selalu nampak muka ibunya dan merasakan ibunya sedang melihatnya...

Begitulah juga dengan kita... Apabila kita pergi ke mana-mana jua, apabila kita mempunyai sifat yang telah ditetapkan ini, kita tidak akan keseorangan kerana sentiasa merasa seakan-akan kita sedang melihat Allah...

Rukun ini adalah rukun pertama yang merupakan rukun tertinggi yang sepatutnya seseorang muslim dan mu'min meraih bagi memperoleh rukun ikhlas tersebut...Sesetengah dari kita masih lagi keliru... tidak faham maksud hadis ini, tetapi tak berkehendak untuk bertanya...

Ramai daripada kita sebenarnya tidak faham... Tetapi buat2 faham sahaja maksud rukun pertama ini... Persoalan mereka ialah bagaimana kita mampu melihat Allah?? Padahal, Nabi Musa 'alaihissalam pun yang hendak melihat wajah Allah pun tak mampu...apatah lagi kita..

haha...stop!! jangan gelak dulu...tahan... Saya ingin perjelaskan bahawa Hadith tersebut menyebut "ka annaka" yang bermaksud seakan-akan... bukannya bermaksud kita melihat Allah...
Jadi persoalan 1 telah pun selesai...




Kita berganjak pula pada rukun yang kedua iaitu merasakan bahawa Allah sedang melihat kita..
Kalau perumpamaan tadi ada menyebut bahawa ia mengikut kita di mana sahaja kita berada dan sentiasa memerhatikan kita, tetapi kali ini jika kita tidak mempu merasakan perkara tersebut, kita mestilah setidak-tidak/sekurang-kurang/sedha'if-dha'ifnya menggapai rukun yang ke-2 ini... Jika salah seorang daripada kita tidak lagi mampu mencapai tahap ikhlas yang ke-2 ini, maka kita bukanlah orang yang selayaknya digelar 'Mukhlishin lahud Deen' ataupun orang2 yang Ikhlas...

Pengertian yang kedua yang akan saya aturkan pada hari ini ialah pengertian daripada seorang sahabat Nabi shallallhu 'alaihi wa sallam iaitu Fudhail bin 'Iyadh... dia berkata "Meninggalkan amalan kerana manusia adalah riak, dan beramal kerana manusia adalah syirik.. maka Ikhlas akan menyelamatkan kamu daripada kedua-duanya"...

Mudah aja untuk dibincang... Kesimpulannya, riak adalah syirik kecil dan syirik adalah melakukan sesuatu amalan disandarkan kepada Allah disertai dengan perkara2 yang lain ataupun disandarkan kepada perkara lain semata-mata...

Semoga kita tidak tergolong dalam golongan yang dikatakan dalam surah Al-Ma'un sebagai 'Yura'uun'.. yang bermaksud riak...Semoga amalan kita di Bulan Ramadhan ini dirahmati dan diberkati Allah dengan ketidakhadiran syirik kecil ini dalam amalan kita...

Remaja Suluhan Ilahi!!




Masa remaja adalah zaman yang penuh dengan cabaran. Golongan remaja dengan keadaan fizikal yang segar bugar, ketika inilah gelombang syahwat sangat bergelora. Tidak mudah untuk mengawal segala dorongannya, apatah lagi jika kehidupan mereka tidak terikat dengan keimanan dan batas-batas syariat.

Kesempatan untuk bergaul bebas sentiasa terbuka, lebih-lebih lagi hidup dalam negara dan masyarakat yang tidak melaksanakan hukum dan undang-undang Allah SWT. Budaya maksiat yang sengaja disuburkan melalui pelbagai konsert yang mendorong mereka menjadikan artis sebagai sanjungan dan ikutan, bukan sahaja meruntuhkan akhlak remaja, bahkan menyebabkan mereka menganggap maruah dan kehormatan seolah-olah tidak bernilai. Dengan mudah mereka menyerah kepada seseorang lantaran runtunan hawa hafsu.

Budaya barat bersalut dengan kekufuran dan kemaksiatan sentiasa mengalir melalui media elektronik, termasuk juga video lucah menjadikan remaja sebagai sasarannya. Dalam suasana yg begitu onar, mungkin terdapat segelintir remaja yang hidup terasuh dalam keluarga yang berteraskan tarbiah islam, mendampingkan diri dengan kelompok yang berpegang teguh dengan ajaran islam. Dengan suasana yang murni itu, mereka memiliki daya tahan daripada ancaman pengaruh mungkar.

Tidak mudah untuk menjadi seorang remaja mukmin dan berakhlak mulia, lebih-lebih lagi dalam suasana negara dan pemerintahannya mengabaikan peraturan Allah SWT. Dengan pengaruh persekitaran yang lebih menjerumus kepada dunia hiburan yang melampau, hanya remaja yang mendapat taufik dan hidayah Allah SWT serta asuhan dan bimbingan daripada ibu bapa yang berpegang teguh dengan hukum Allah SWT sahaja akan selamat daripada segala bencana itu.



Hanya golongan remaja yang memiliki benteng pertahanan iman, serta berakhlak yang mulia, merupakan golongan yang telah berjuang sepenuh upaya untuk menjadi remaja yang bermoral tinggi. Allah SWT amat menghargai kesungguhan remaja seperti itu. Oleh sebab itulah apabila mereka tiba di padang Mahsyar, mereka akan disambut dengan segala pujian dan sanjungan daripada para malaikat. Malah kehadirannya akan disambut oleh Allah SWT dengan ucapan "selamat datang wahai para remaja yang baik".

Demikianlah penghargaan dan balasan Allah SWT terhadap para remaja yang bekerja keras serta bersungguh-sungguh mengawal diri daripada segala pengaruh buruk yang sedang bermaharajalela di sekitar mereka. Berkat kesabaran menahan diri daripada hidup berseronok dan berfoya-foya yang bersifat sementara di dunia ini, mereka akan mendapat keseronokan yang abadi di Akhirat kelak.

Setelah Allah SWT mengucapkan selamat datang kepada para remaja yang berakhlak mulia itu, lalu diperintahkan para malaikat supaya menempatkan para remaja itu di sebelah kanan. Untuk mereka, disediakan bendera berwarna hijau, lalu Allah Taala menyeru Nabi Yusuf AS untuk menerima bendera tersebut bagi mengetuai para belia yang mukmin, berakhlak, sabar dan mempunyai ilmu pengetahuan. Nabi Yusuf terpilih menjadi ketua para belia yg baik budi pekerti kerana Baginda adalah seorang Nabi yg sangat kacak dan tampan.

Ketampanannya menggoda ramai wanita, hingga ada wanita yang tertawan dan cuba menggodanya. Namun, Nabi Yusuf berjaya mengatasi semua halangan dan godaan itu. Ulamak tafsir menyifatkan kecantikan yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada manusia di dunia ini hanyalah separuh daripadanya ada pada Nabi Yusuf AS. Dalam Al-Quran terdapat satu surah khas yang bernama "Surah Yusuf", yang bukan sahaja menceritakan paras rupa Nabi Yusuf yang tampan dan menawan, tetapi juga menceritakan segala kebaikan dan kelebihan Baginda. Alangkah bertuahnya para belia itu kerana mendapat ketua seorang Nabi yang termasyhur, iaitu Nabi Yusuf AS.

Bersesuaian dengan ketabahan dan kekuatan hati Baginda yang berjaya menghadapi fitnah wanita. Maka demikian jugalah para remaja yang berjaya menghadapi segola godaan dan cubaan alam remaja, maka mereka akan bersama-sama Nabi Yusuf di bawah panji-panji hijau di Akhirat kelak. Setelah itu, Allah SWT memuliakan orang-orang yang menjalinkan hubungan baik sesama manusia semata-mata kerana Allah SWT. Mereka berkawan bukan kerana wang ringgit yang selalu diterima atau kerana pertolongannya semasa mendapat kesusahan, tetapi hubungan baiknya hanya atas dorongan hati yang ikhlas. Justeru, mereka mendapat ganjaran yang besar daripada Allah SWT kerana sifat yang terpuji itu. Sifat kasih mesra sesama insan itu merupakan benteng penghalang daripada segala persengketaan dan pemusuhan.