Friday, January 14, 2011

Takut?


Takut sering dipandang negatif.

Orang yang mempunyai takut, sering dipanggil sebagai pengecut. Takut dilihat sebagai pelemah dan pengurang kepada kekuatan.

Tetapi sebenarnya, di dalam kehidupan ini, ada satu ketakutan yang manusia perlukan. Bahkan, ketakutan ini menambahkan kekuatan, bukan melemahkan. Bahkan, ketakutan ini memberikan banyak kebaikan kepada manusia dan menjauhkan manusia daripada pelbagai keburukan.

Itulah dia takut kepada Allah SWT.

Manusia itu terbang dengan dua sayap

Guru saya, Syeikh Muhammad Audeh Al-Hawari, pakar ilmu hadith di Universiti Yarmouk, tatkala mengajar saya akan Petunjuk Nabawi di dalam Adab dan Pelembut Hati, pernah menyebut:

“Manusia itu ibarat burung yang terbang dengan dua sayap. Tetapi sayap manusia adalah Takut dan Mengharap kepada Allah SWT.”

Takut hakikatnya adalah elemen penting. Takut menyebabkan kita tidak akan melepasi sesuatu garisan yang ditentukan oleh yang ditakuti oleh kita. Takut menyebabkan kita tidak akan membuat sesuatu perkara yang telah dilarang oleh yang ditakuti oleh kita.

Takut menyebabkan kita tunduk. Takut menyebabkan kita taat.

Sekiranya kita bergerak di atas ketakutan kepada Allah SWT ini di dalam kehidupan kita, maka tidak adalah yang datang kepada kita melainkan kebaikan, dan tiadalah yang ada pada kita melainkan keberanian.

Siapakah yang takut kepada Allah SWT?

Namun siapakah yang takut kepada Allah SWT?

Saban minggu, kita perasan bahawa khatib jumaat akan lazimnya memulakan khutbah dengan berkata: “Ittaqullah…” yang membawa maksud asalnya: Bertaqwalah kamu kepada Allah. Juga boleh diterjemahkan sebagai takutlah kamu kepada Allah SWT. Tetapi siapakah yang benar-benar takut kepada Allah SWT?

“Tidakkah kamu melihat bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, kemudian Kami hasilkan dengan hujan itu buah-buahan pelbagai jenisnya. Dan antara gunung-ganang itu ada garis-garis putih dan merah yang beraneka macam warnanya dan ada pula yang hitam pekat. Dan demikian pula antara manusia, binatang melata dan binatang ternak, ada bermacam-macam warnanya(dan jenisnya). Sesungguhnya yang takut kepada Allah antara hamba-hambaNya adalah dari kalangan ulama’(yang berilmu). Sesungguhnya Allah itu Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” Surah Fathir ayat 27-28.

Dapat dilihat di sini, yang takut kepada Allah SWT, adalah yang berusaha mengenali Allah SWT itu sendiri. Yang tahu akan kekuatanNya. Yang tahu akan keperkasaanNya. Yang tahu apa yang Dia boleh lakukan. Yang tahu akan kekuasaanNya. Sebab itu jika kita perasan, ayat ini dimulakan dengan menunjukkan keperkasaan Allah, kekuasaanNya, kemampuanNya dalam menciptakan pelbagai perkara.

Maka apakah kesusahanNya untuk menurunkan azab kepada kita? Apakah yang akan menghalangNya daripada menghapuskan kita? Siapakah yang mampu menyelamatkan kita daripada kemurkaanNya? Tiada. Jawapannya adalah tiada.

Tetapi yang menyedari hal ini, hanyalah yang mengenaliNya. Yang berusaha merapatiNya.

Tanpa ini, takut itu tidak akan hadir kepada kita.

Takut yang ajaib

Mengapa perlu diwujudkan ketakutan ini?

Bagi saya, ketakutan kepada Allah ini adalah antara motivasi terulung dalam membina kehidupan yang baik. Hal ini kerana, apabila kita menyedari keperkasaan Allah SWT, kita akan menjadi teragak-agak untuk mengingkariNya bukan?

Apabila kita tahu akan kekuatan Allah SWT, dan kita amat takut kepadaNya, kita menjadi tidak takut kepada yang selainNya bukan? Sebab takut kita kepada Allah, melebihi ketakutan kita pada yang selainNya.

Apabila kita mempunyai rasa takut ini, maka datanglah kekuatan kerana hilangnya ketakutan kita ke atas perkara lain. Apabila kita dapat menggenggam rasa takut ini, maka datanglah semangat melakukan kerja kerana kita tahu akan akibat sekiranya kita mengingkariNya.

Ajaibnya takut ini, takut ini tidak memberikan kelemahan. Bahkan, ketakutan ini memberikan kekuatan. Memberikan semangat bekerja. Menjadikan kehidupan kita satu kehidupan yang bersih dan baik.

Tidak cukup dengan itu, akhirat kita juga akan terjamin.

Allah SWT berfirman:

“Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Rabbnya, dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya, maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggal untuknya.” Surah An-Naziat ayat 40-41.

Menarik bukan ketakutan ini?

Penutup: Hari ini, ketakutan ini hilang. Maka yang ada hanyalah kelemahan.

Hari ini, kita banyak takut perkara lain, melebihi ketakutan kita kepada Allah SWT. Atau kebanyakan kita hari ini, rasa takut kepada Allah itu telah hilang. Menyebakan kita melanggar banyak perkara yang dilarang oleh Allah SWT. Hal ini memberikan kelemahan kepada manusia.

Kita sanggup tunduk kepada manusia, ikut kata-katanya, kerana kita takutkannya. Sanggup tunduk sehingga walaupun apabila diarahkan untuk melanggar perintah-perintah Allah SWT, kita tetap ikut bagai lembu yang dicucuk hidungnya.

Tidak takut kepada Allah menyebabkan kita ‘curi tulang’ dalam banyak hal apabila berseorangan. Tidak takut kepada Allah, menyebabkan kualiti kerja, amalan kita berkurangan.

Hari ini, kita dididik untuk menakuti perkara lain melebihi Allah SWT. Ataupun, kita dididik untuk tidak takut kepada Allah SWT. Akhirnya di manakah kita sekarang?

Di manakah kita?

Maka adalah sepatutnya, ketakutan ini dikembalikan ke dalam jiwa-jiwa kita. Dan kita akan perhatikan betapa kita akan naik setinggi-tingginya, dengan ketakutan kepada Allah SWT yang tersemat kemas di dalam jiwa.

Dipetik drpd LangitIlahi V2

No comments:

Post a Comment